ADD SAYA DI FACEBOOK

Wednesday, 20 August 2014





PENYAKIT BATU KARANG
Terbentuk kerana tabiat pemakanan dan kurang minum air
ZAMAN berubah, tetapi ada nasihat orang tua dulu-dulu yang masih berguna. Antaranya ialah jangan suka menahan kencing kerana ia boleh menyebabkan batu karang. Walaupun tiada bukti saintifik yang boleh menyokongnya, ia tidak boleh dipandang ringan kerana nasihat ini banyak manfaatnya.

Secara logiknya, apabila seseorang cuba menahan kencing, dia akan kurang minum. Jika kurang minum, air kencing menjadi pekat dan mengandungi banyak bahan yang boleh membentuk batu karang.

Masalah ini lebih ketara bagi penduduk negara yang panas seperti Malaysia, bekerja dalam persekitaran panas atau bersenam keterlaluan dan kurang minum menggantikan semula air yang hilang.

Batu karang terbentuk dalam buah pinggang. Di buah pinggang inilah berlakunya proses penapisan darah bagi menyingkirkan bahan yang tidak diperlukan badan melalui air kencing dan najis.

Daripada buah pinggang, air kencing dipindahkan ke pundi kencing melalui saluran ureter. Di sinilah air kencing disimpan sehingga ia dibuang daripada badan. Batu karang terbentuk apabila air kencing mengandungi banyak bahan, terutama kalsium, oksalat, asid urik dan sistein atau kekurangan bahan yang bertugas membantu mencegah pembentukan kristal seperti sitrat dan magnesium.

kehadiran batu karang boleh menjadi petanda buah pinggang mula mengalami kerosakan.Pesakit perlu mendapatkan rawatan segera supaya kerosakan buah pinggang dapat diperlahankan dan disusuli dengan penjagaan pemakanan serta mula bersenam bagi mengelakkan pembentukan batu karang berulang.

Biasanya batu karang menyebabkan rasa yang sangat sakit pada bahagian tepi perut. Bagaimanapun, ia tidak berlaku pada semua orang. Ada juga pesakit batu karang yang tidak mengalami tanda dan masalah mereka dikesan secara tidak sengaja iaitu apabila menjalani pemeriksaan kesihatan bagi tujuan lain.

Banyak punca boleh menyebabkan pembentukan batu karang, tetapi faktor utamanya ialah tabiat pemakanan dan kurang minum air. Batu karang biasanya terbentuk apabila air kencing menjadi terlalu pekat.

Ini menyebabkan mineral dalam air kencing termendak dan mula membentuk kristal. Lama kelamaan, kristal ini bergabung dan membentuk seketul batu yang keras.

Batu karang yang kecil boleh masuk ke pundi kencing tanpa mengakibatkan kerosakan. Pergerakan batu karang ini menyebabkan kesakitan pada bahagian belakang atau sisi di bawah tulang rusuk. Kesakitan akibat batu karang lebih memuncak apabila batu ini pecah dan terhenti bergerak.

Banyak faktor boleh mempengaruhi perubahan air kencing kita seperti keturunan, pemakanan, ubat, cuaca, gaya hidup dan masalah kesihatan. Semuanya memberi sumbangan tertentu kepada pembentukan batu karang.

Faktor risiko

Banyak faktor boleh menyumbang kepada pembentukan batu karang, antaranya:

Kurang air — Jika tidak cukup minum, terutama air masak, air kencing menjadi lebih pekat. Ini sebabnya individu yang kurang minum air lebih mudah mengalami masalah batu karang.

Sejarah keluarga atau sendiri — Masalah batu karang juga boleh disebabkan oleh faktor keturunan. Orang yang ada sejarah keluarga mempunyai batu karang berisiko mengalami masalah sama. Malah, individu yang pernah mendapat batu karang juga perlu lebih berhati-hati kerana masalah ini boleh berulang.

Umur — kebanyakan kes berlaku di kalangan umur 20 hingga 70 tahun.

Jantina — Lelaki lebih mudah mengalami masalah batu karang berbanding wanita.

Penyakit tertentu — Penyakit yang diwarisi seperti sistinuria (masalah penyerapan dan metabolisme asid amino menyebabkan asid amino sisteina terkumpul dalam darah dan membentuk batu karang). Bahkan, individu yang ada penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi juga berisiko mengalami batu karang. Selain itu, individu yang mengalami masalah hiperurisemia (kepekatan asid urik yang tinggi dalam darah) juga dinasihatkan lebih peka menjaga kesihatan.

Kesan sampingan ubat — Sesetengah ubat, contohnya ubat diuretik, boleh meningkatkan risiko pembentukan batu karang dalam keadaan tertentu.

Pemakanan — Pemakanan yang tinggi kandungan protein purin dan asid urik seperti organ dalaman (hati, jantung, limpa), daging merah, makanan laut bercangkerang (kerang, tiram) dan alkohol boleh meninggikan risiko mendapat batu karang. Pada masa sama, diet kurang serat (buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin) menyumbang kepada masalah ini.

Kurang bergerak — Individu yang kurang bergerak, jarang bersenam atau lama terlantar lebih berisiko tinggi. Ini kerana aktiviti fizikal yang terhad menyebabkan tulang mengeluarkan lebih kalsium ke dalam darah.

Masalah batu karang boleh dielakkan dengan mengamalkan pemakanan sihat dan minum banyak air. Pesakit yang pernah mengalami masalah ini dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan makanan yang kaya asid urik atau purin.

Batu karang adalah masalah kesihatan yang boleh dicegah dengan melakukan sedikit perubahan gaya hidup. Selain itu setiap orang juga disaran menjalani tiga ujian mudah, iaitu ujian air kencing dan darah serta pemeriksaan tekanan darah bagi memastikan buah pinggang dalam keadaan normal.

Ini kerana melalui tiga ujian berkenaan, perubahan fungsi atau kerosakan buah pinggang dapat dikesan pada peringkat awal dan boleh dirawat segera.

Jenis

Batu karang ada empat jenis yang ditentukan bahan atau puncanya iaitu:

Batu kalsium — Jenis paling lazim. Batu kalsium biasanya membabitkan dua bahan, iaitu kalsium dan oksalat.

Batu struvite — Berlaku lebih kerap pada wanita berbanding lelaki. Ia biasanya disebabkan jangkitan salur kencing kronik oleh bakteria yang menghasilkan enzim tertentu. Enzim ini meningkatkan kandungan ammonia dalam air kencing sehingga membentuk kristal struvite.

Batu asid urik — Batu ini terbentuk daripada asid urik, iaitu hasil sampingan daripada metabolisma protein.

Batu sistein — Pembentukan batu karang jenis ini jarang berlaku. Ia biasanya berlaku di kalangan individu yang ada masalah genetik yang menyebabkan buah pinggang menghasilkan berlebihan asid amino tertentu.

Gejala

Sakit pada bahagian belakang badan dan sisi di bawah tulang rusuk. Bagaimanapun bukan semua kes mempunyai gejala, kecuali jika batu karang berkenaan besar sehingga menyekat saluran tertentu dan menyebabkan jangkitan. Rasa sakit ini datang dan pergi dalam masa antara lima hingga 15 minit.

> Apabila batu karang ini berpindah dari buah pinggang ke pundi kencing melalui tiub yang dipanggil ureter, pesakit mengalami rasa sakit pada abdomen bawah. Kesakitan ini terhenti apabila batu karang berhenti bergerak.

Air kencing berdarah.

Air kencing keruh dan berbau busuk.

Mual dan muntah.

Sentiasa terasa hendak kencing.

Demam dan menggigil (jika ada jangkitan).






TANDA AWAL PENYAKIT BUAH PINGGANG

RAMAI orang beranggapan mereka cukup sihat, walaupun bertahun-tahun tidak menjalani pemeriksaankesihatan. Malah, tidak kurang juga beranggapan mereka tidak akan berdepan masalah kesihatan, sedangkan setiap orang sebenarnya mempunyai risiko sama untuk mengalaminya kerana kebanyakan penyakit kronik menyerang badan dalam diam. Sikap suka meletakkan diri dalam keadaan selesa menyebabkan ramai melepaskan peluang menjalani pemeriksaan kesihatan, walaupun ia diberikan secara percuma.
Sikap ini juga menyebabkan ada yang tidak boleh menerima hakikat apabila diberitahu mereka menghidap sesuatu penyakit serius kerana tidak mengalami sebarang gejala.
Namun, itulah sifat penyakit kronik. Kehadirannya tidak dirasai dan pesakit masih boleh menjalankan kegiatan harian tanpa masalah kerana kesan hanya timbul apabila penyakit sampai ke tahap serius.
Fenomena sama turut ditunjukkan dengan masalah kerosakan buah pinggang.Ia mengambil masa bertahun-tahun sebelum menunjukkan kesan kepada kesihatan.Bagaimanapun, anda perlu lebih berhati-hati dan segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan jika anda mengalami tanda seperti:
-Ketidakselesaan atau rasa terbakar ketika membuang air kecil.
-Darah keluar bersama-sama air kencing.
-Perubahan pada kekerapan membuang air kecil.
-Sakit belakang.
-Kerap buang air kecil, terutama pada tengah malam.
-Bengkak pada pergelangan kaki.
-Sembap pada keliling mata yang berlarutan, terutama pada sebelah pagi.
Semua tanda di atas menunjukkan seseorang itu mengalami masalah kerosakan buah pinggang. Biasanya gejala ini dianggap perkara biasa dan sering diketepikan, sedangkan ia petanda penting kepada masalah buah pinggang.
Risiko kegagalan buah pinggang semakin tinggi dengan pertambahan umur.Setiap tahun dianggarkan 2,400 kes baru kegagalan buah pinggang dilaporkan dan kes baru di kalangan golongan berumur antara 60 hingga 65 tahun menunjukkan peningkatan 25 peratus.
Buah pinggang bertugas menapis darah dan membuang bahan toksik, sisa buangan dan air berlebihan dari badan.Kegagalan buah pinggang melakukan tugas penting ini boleh menyebabkan pesakit menemui maut jika rawatan penggantian buah pinggang tidak dilakukan. Namun, bukan mudah untuk mendapatkan buah pinggang baru dan kosnya pula sangat mahal; boleh mencecah RM300,000!
Justeru, perkara terbaik ialah menjalani pemeriksaan pengesanan. Ujiannya pula sangat mudah iaitu melalui ujian darah dan air kencing yang mengambil masa beberapa minit saja.
Selain dua ujian mudah ini, beberapa kaedah lain boleh digunakan, iaitu biopsi jarum halus dan ujian bagi tekanan darah tinggi dan kencing manis.
Kaedah terbaik untuk mengelak menanggung kos perubatan tinggi ialah kerap membuat pemeriksaan kesihatan untuk mengesan penyakit pada peringkat awal. Ujian saringan kesihatan ini sangat mudah dan keputusannya boleh diketahui segera.
Semua orang perlu menjalani pemeriksaan kesihatan ini, terutama mereka yang mempunyai sejarah atau ahli keluarga menghidap penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi, kerana mereka berisiko tinggi mendapat masalah kegagalan buah pinggang.
Kencing manis dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal juga antara punca utama kerosakan buah pinggang. Jika ini berlaku, bermakna pesakit terpaksa bergantung kepada mesin dialisis darah sepanjang hayat.
Saringan ini sangat mudah. Tiga parameter diukur iaitu tekanan darah, kandungan glukosa darah dan kandungan protein dalam air kencing. Jika air kencing menunjukkan ada protein, pesakit disaran menjalani ujian susulan untuk pengesahan kerana ia antara petanda awal kegagalan buah pinggang.
Masalah kegagalan buah pinggang yang semakin meningkat di kalangan masyarakat kita dipercayai akibat gaya hidup dan tabiat pemakanan tidak sihat yang boleh menjurus kepada penyakit kencing manis serta tekanan darah tinggi.
Kajian terbaru Universiti Sains Malaysia (USM) 2004 mendapati, rakyat Kelantan paling ramai menghidap kencing manis (78,000 orang) dan kebanyakannya adalah pesakit muda berumur 30 tahun.
Peningkatan sekali ganda sebanyak 13 peratus ini sangat merisaukan berbanding hanya 5.3 peratus 10 tahun lalu.
Kencing manis juga menyebabkan 95.3 peratus pesakit di negeri itu terpaksa kehilangan anggota badan yang kesemuanya berpunca daripada pengambilan gula berlebihan.
Jika anda turut mengamalkan gaya hidup tidak sihat, masih belum terlewat untuk mengubahnya.
Mulakan hidup baru dengan menjalani ujian saringan ini sebelum membuat pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya setahun sekali.
Kegagalan buah pinggang juga boleh dicegah dengan mengamalkan:
-Pemakanan seimbang.
-Minum sekurang-kurangnya dua liter air sehari.
-Berhenti merokok.
-Makan ubat selepas mendapat nasihat doktor. Paling penting, elakkan ubat yang tidak perlu termasuk ubat untuk menguruskan badan.
-Kekalkan berat badan seimbang.
-Bersenam setiap hari sekurangnya-kurangnya 30 minit.


Batu karang adalah perkara yang tidak dapat dielakkan oleh badan kita. Walaupun ianya menyakitkan, ianya harus dikeluarkan dengan segera untuk menghalang daripada ianya memerlukan proses yang lebih rumit.
Adalah fakta di mana semua individu berisiko untuk mempunyai batu karang. Oleh itu, anda digalakkan agar, apabila telah sembuh daripada mempunyai batu karang, keluar bendalir dari badan malah menyakitkan, anda tidak harus melalui melalui proses rawatan yang rumit ataupun mahal.
Di sini saya kongsikan bersama anda beberapa panduan mudah dan boleh meminimumkan rasa sakit yang boleh digunakan dan dalam masa yang sama membantu anda untuk mengeluarkan batu karang.
Senarai di bawah adalah panduan yang dapat membantu mengurangkan kesakitan dalam masa yang sama dapat mengeluarkan batu karang:
  1. Minum lapan hingga sepuluh gelas air dalam sehari. Amaun air ini dapat mencegah pembentukan kristal di dalam tubuh badan anda dan membantu mengeluarkan garam yang anda ambil seharian dalam bentuk air kencing.
  2. Antara air lain yang disarankan adalah air limau. Air limau bukan sahaja menghidratkan anda, tetapi ia juga mengandungi fiber dan asid sitrik yang terbukti dapat melarutkan batu yang terbentuk daripada kalsium atau kalsium oxalate yang tidak diserap.
  3. Patuh pada arahan doktor. Selalu dengar dan ikuti arahan doktor anda semasa anda mengalami kesakitan akibat penyakit anda. Doktor selalunya akan menyarankan anda untuk mengambil makanan yang tinggi fiber supaya dapat menyingkirkan kalsium oxalate yang mana telah diserap oleh badan.
  4. Doktor juga akan menyarankan anda mengambil makanan dan minuman yang kaya dengan sitrat seperti anggur, lobak merah dan oren. Ini kerana makanan yang mengandungi sitrat sangat baik untuk melarutkan sistin.
  5. Dalam masalah batu karang, cuba elakkan daripada mengambil minuman ringan dan kopi di mana  minuman ini menghalang tubuh anda daripada membuang air kencing. Sebenarnya minuman ini akan mengakibatkan tubuh anda mengalami dehidrasi (kekurangan air).
  6. Oleh kerana batu karang disingkirkan secara semulajadi (melalui air kencing), dan menyakitkan, dicadangkan kepada anda agar sentiasa meletakkan diri dalam keadaan sibuk agar anda tidak fokus pada kesakitan yang dialami. Lakukan senaman merupakan salah satu aktiviti yang dapat membantu melencongkan diri anda dari kesakitan yang tersebut.
  7. Antara cara yang berkesan yang boleh dilakukan di rumah untuk mengubati batu karang ialah dengan mencampurkan jus lemon dengan minyak zaitun. Tambahkan satu sudu makan minyak zaitun dengan satu sudu makan jus lemon. Minum campuran tersebut dengan segelas air. Minyak zaitun bertindak sebagai pelincir untuk memudahkan / mengurangkan kesakitan semasa proses pengeluaran batu.
  8. Jika kesakitan berterusan dan menjadi semakin kuat, berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan bantuan perubatan. Doktor anda mungkin akan memberikan anda ubat yang bersesuaian dengan masalah yang anda alami.
  9. Batu karang yang telah dikeluarkan perlu diambil untuk dianalisis. Oleh yang demikian batu ini harus dikeluarkan melalui penapis khas supaya ianya dapat dikumpul.
  10. Pastikan doktor anda memberitahu anda kaedah semasa mengeluarkan batu karang tersebut.
Itulah dia sepuluh panduan yang dapat saya kongsikan. Semoga ianya dapat membantu anda. Anda bagaimana? Ada tip tambahan yang ingin dikongsikan? Apakata anda tuliskan ia di ruangan komen di bawah.



No comments:

Post a Comment